Susulan insiden Presiden Gerakan Dominic Lau dihalau dari majlis Ceramah Mega PN Best di Pulau Pinang, mantan setiausaha agung Datuk Liang Teck Meng membangkitkan persoalan maruah yang meningkatkan tekanan ke atas Lau dan pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin.
“Seseorang perlu sedar maruah perlu ditegakkan oleh diri sendiri bukan dengan ehsan orang lain.
“Letak jawatan sekiranya awak kalah. Saya tiada agenda peribadi. Anda boleh menyerahkan kuasa kepada timbalan anda. Ini soal maruah Gerakan,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Liang turut bertanding untuk kerusi presiden Gerakan tetapi gagal merampas kerusi tersebut daripada Lau.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Mahiaddin yang membisu seribu bahasa susulan dari kejadian tersebut.
“Tan Sri Mahiaddin, pengerusi Perikatan Nasional perlu menyatakan pendirian.
“Ini pilihan raya negeri dan presiden kami mendakwa Gerakan mempunyai status sama di dalam Perikatan Nasional.
“Mengapa timbalan presiden PN tidak dibenarkan berucap di dalam ceramah mega?
“Mengapa pengerusi PN negeri Pulau Pinang tidak dibenarkan berucap di dalam ceramah mega?
“Adakah beliau tidak dibenarkan menyertai sebarang ceramah PN ketika PRN?”
Lau ialah timbalan presiden PN dan pengerusi PN negeri Pulau Pinang.
Beliau bertanding di DUN Bayan Lepas. Gerakan bertanding sejumlah 19 kerusi di Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun ahli PAS peringkat akar umbi mempertikaikan pencalonan Lau di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.