Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakamkan kenyataan seorang pemimpin Muslimat PAS yang menularkan sebahagian kecil titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk meningkatkan sokongan kepada PAS di dalam pilihan raya negeri (PRN).
Setakat ini 24 laporan polis telah diterima oleh PDRM.
“Seorang wanita berusia lingkungan 40-an akan dirakam percakapannya di Balai Polis Cyberjaya, kira-kira jam 2.30 petang, pada Selasa. Siasatan bersabit penularan rakaman video Sultan Perak yang diolah seakan menyokong sebuah parti politik,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain .
Semalam Dewan Negara Perak yang diwakili oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin menyatakan bahawa Pejabat Istana Sultan Perak telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.
Zahidi turut menjelaskan bahawa klip yang ditularkan mengambil sebahagian kecil titah ucapan baginda pada 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka.