Sorting by

×

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat untuk memperkenalkan garis panduan khusus pemberian bantuan semasa pilihan raya.

Ini kerana kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah menyatakan perkara tersebut secara jelas.

“Kami mohon semua pihak memahami akta ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis pelancaran pemakaian kamera badan (BWC) dan jaket SPRM, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan Pas agar satu panduan khusus disediakan.

Ia susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa peruntukkan geran tambahan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun SPRM menyifatkan ia bukan rasuah sebaliknya sebagai inisiatif dari kementerian di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan dan laporan berhubung perkara yang berkaitan dengan rasuah sepanjang tiga hari kempen pilihan raya bermula.

“Mengikut pengamatan pengalaman lepas, tempoh sehari dua ini belum lagi,” katanya.