Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pengumuman pemberian geran bernilai RM350,000 kepada belia Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mengandungi unsur rasuah.

Perkara ini telah disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.

“Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

“Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya.

Sumbangan yang diumum Zahid Hamidi membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu yang dipersoalkan pelbagai pihak kerana menjelang PRN di enam negeri.

Selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah dan MBM Terengganu, Zahid juga mengumumkan bantuan RM200,000 kepada kelab bermotosikal di negeri itu.

Isu sumbangan menjadi hangat apabila Ahli Parlimen Muar mendakwa tindakan Zahid menormalisasikan rasuah. Isu ini turut dibangkitkan oleh timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.