Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Teo Nie Ching menyoal logik di sebalik gesaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu agar Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Fahmi Fadzil meletakkan jawatan susulan dari aksi kurang sopan kumpulan The 1975 di Festival Good Vibes 2023.
“Wan Saiful tak berfikir panjang apabila menyerang Menteri KKD. Apa punya logik?
“The 1975 dengan jelas telah melanggar perjanjian mereka dengan penganjur, dan melanggar undang-undang negara.
“Kalau disebabkan itu menteri perlu letak jawatan, adakah Wan Saiful akan suruh Menteri Pengangkutan letak jawatan jika orang melanggar peraturan had laju, lalu lintas?
Teo turut bertanya sama ada Menteri Dalam Negeri perlu meletakkan jawatan memandangkan Wan Saiful sendiri berdepan kes rasuah di mahkamah.
“Menteri Dalam Negeri perlu letak jawatan kalau orang awam mencuri atau disyaki ambil rasuah lalu didakwa di Mahkamah seperti yang berlaku dalam kes Wan Saiful sendiri?”
Penyanyi utama kumpulan 1975, Matty Healy telah mengkritik undang-undang negara dan pendirian negara terhadap golongan LGBT, minum wiski di atas pentas dan mencium salah seorang anggota kumpulannya semasa konsert.
Ekoran itu, Fahmi telah membatalkan Festival Good Vibes dengan serta-merta.