Sorting by

×

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menggesa umat Islam agar tidak membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Baginda sama sekali tidak bersetuju dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform masjid sebagai tempat untuk berpolitik dan menimbulkan kegawatan.

“Antara sebab perpecahan yang melanda masyarakat ialah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu, selain tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.

“Walhal pergaduhan itu ada yang berpunca daripada isu remeh-temeh… jadi, beta mengharapkan umat Islam terutamanya di negeri Kedah ini juga sentiasa hidup dalam bersatu padu dan menjaga kehormanian,” titah baginda pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Baginda turut bertitah sebarang bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila umat Islam kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang kepada al-Quran.

“Beta menyeru agar kita semua menghayati setiap inci iktibar daripada kehidupan Rasullah S.A.W serta berusaha sedaya upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup kita uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia,” titah baginda.

Sambutan yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu turut dihadiri Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali.