Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DAP Pulau Pinang akan menghantar senarai calon pilihan raya mereka kepada jawatankuasa pemilihan minggu ini, kata pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata senarai terakhir calon DAP untuk pilihan raya negeri masih akan dipertimbangkan oleh jawatan kuasa negeri.

“Prosesnya berterusan dan kita akan menghantar senarai yang diputuskan kepada jawatankuasa pemilihan dalam beberapa hari ini,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan kompleks penjaja Jalan Anson yang telah dinaiktaraf.

Chow yang merupakan calon ketua menteri Pakatan Harapan – Barisan Nasional mengulas kenyataan setiausaha agung DAP Anthony Loke bahawa DAP negeri tersebut memerlukan muka baharu dalam kalangan calonnya.

Loke turut menyeru mereka yang tidak tercalon akur dengan keputusan parti.

Chow menegaskan bawa keputusan akhir berkenaan calon akan dibuat oleh jawatankuasa pemilihan dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan perkara ini.

Bila ditanya sama ada beliau akan mempunyai senarai exco yang baru sekiranya kerajaan kekal, Chow berkata perkara itu belum timbul lagi.

“Apa yang dimaksudkannya (Loke) ialah akan ada penyandang yang tidak akan dicalonkan kali ini. Perkara lain tidak berbangkit,” katanya.

Pilihan raya negeri Pulau Pinang akan berlangsung bersekali dengan Kedah, Selangor, Negeri Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos.

Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Julai.