Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pelatih industri di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun minima RM800 sebulan, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelatih industri memang tiada bayaran… itu betul dan ini untuk pendedahan.

“Tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin, malah dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu, sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jadi mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Justeru, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun RM800 sebulan untuk semua pelatih industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan.

Anwar menggesa sektor swasta untuk melaksanakan elaun pelatih industri untuk membantu golongan pelajar menampung perbelanjaan harian. Tambahan pula pelaksanan elaun ini tidak dipaksa ke atas syarikat.

Anwar turut mendedahkan jumlah tersebut merupakan cadangan pelajar yang tingkatan enam.

“Cadangan ini diberikan kepada saya oleh pelajar tingkatan enam.

“Walaupun kita perlu input daripada pakar-pakar ekonomi tetapi kadang-kadang pelajar tingkatan enam beri cadangan yang baik dan kita mesti perhalusi.”

Beliau turut berkata bahawa sektor syarikat berkaitan kerajaan telah menyediakan 35,000 peluang pekerjaan termasuk untuk pelajar lepasan TVET.