Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kini berdepan siasatan bawah Akta Hasutan kerana dipercayai menyentuh isu 3R.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan oleh negara barat.
“Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan melalui hantaran di Facebook Abdul Hadi Awang pada 8 Julai lalu,” kata Timbalan Pengarah Forensik dan Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, G Suresh Kumar dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, Hadi disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Kawalan dan Multimedia 1998.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Suresh.
Dalam kenyataan 8 Julai itu, Hadi memfokuskan serangannya kepada DAP antaranya mendakwa Umno juga mendapat undi dari penyokong DAP.
Hadi mendakwa, Presiden UMNO, Tan Sri Ahmad Zahid Hamidi kini adalah murid setia DAP.
“Bahkan, termasuklah Presiden UMNO kini yang dikatakan menjadi murid setia.
“Menangnya dengan undi DAP dan UMNO tua, saluran satu yang sudah tersesat lebih 40 tahun, atau mabuk politik wang.
“Jelas dan nyata, DAP mempunyai tujuan politik bagi perkauman Cina dengan usaha mendapat undi tambahan Melayu dan kaum lain bagi mencapai cita-citanya itu,” dakwa Hadi padahal ketika itu DAP serta PH belum lagi bersama-sama dengan Umno dan BN.
Hadi juga mendakwa, Pas mengambil pendekatan menangguhkan masalah Perlembagaan Persekutuan yang menganggu pelaksanaan syariat Islam yang sempurna dengan berkonsepkan tadarruj (pelaksanaan secara berperingkat dan bertahap).
“Malangnya, apabila kita mengambil tindakan mengikut bidang kuasa agama Islam di bawah negeri, Kerajaan di Kelantan, Terengganu, kemudian di Kedah dan kini di Perlis, tiba-tiba mendapat tentangan daripada DAP dan rakan-rakannya,” tanpa menyebut pihak yang menyeret Pas ke Mahkamah kerana membantah undang-undang Islam adalah rakannya sekarang iaitu Gerakan.