Sorting by

×

Kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh MCA dan MIC akan ditandingi oleh UMNO dan rakan BN, umum pengerusi BN merangkap presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita sebenarnya telah tetapkan kerusi (untuk) MCA dan MIC, kalau itu keputusan mereka…kita akan bincangkan.

“Kalau tak nak ambil (MCA dan MIC tidak bertanding), (kita) akan letak (tanding) bawah BN,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah.

Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 10 Julai.

Semalam MCA dan MIC mengumumkan bahawa kedua-dua parti tersebut tidak akan menyertai pilihan raya negeri di enam negeri pada 12 Ogos. MIC sebelum ini mempunyai wakil di Jeram Padang, Negeri Sembilan.

Ini bermakna peluang cerah untuk UMNO sendiri bertanding di kerusi-kerusi tersebut.

Ini juga peluang untuk parti-parti mesra BN bertanding di dalam PRN.

Parti mesra BN ialah Friends of BN yang daripada Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).