Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dan berkata, ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.

“Saya dapati ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.

“Saya sempat bertegur sapa dan bertanyakan kepada anggota serta pegawai bertugas berkenaan operasi harian, baik di kaunter ketibaan mahupun pelepasan,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook beliau.

Beliau membuat lawatan mengejut itu selepas kekecohan berlaku ekoran tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu salah guna kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Menurut Anwar, kesempatan beliau turun ke KLIA itu juga digunakan untuk melihat sendiri isu berbangkit atau permasalahan sewaktu pengendalian harian membabitkan pelancong dan warga asing selain warga tempatan.

“Berhubung insiden membabitkan pelancong China baru-baru ini, saya memberi jaminan, siasatan rapi akan dijalankan pihak berkuasa hatta perbincangan awal akan dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

“Sementelahan, tindakan juga akan diambil pihak terbabit andai wujud kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kelinciran operasi.

“InsyaAllah tahap keselamatan dan pengoperasian di lapangan terbang negara akan senantiasa ditambahbaik dalam memastikan perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada semua pihak,” katanya.