Sorting by

×

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan syarikat gergasi dunia seperti Tesla hanya akan melabur di negara ini jika terdapat sebuah kerajaan yang stabil dan boleh bertahan lama.

Exconya, Fadhli Umar Aminolhuda berkata demikian mengulas tindakan ribuan anak muda menyerbu sesi temuduga Tesla di Cyberjaya baru-baru ini.

“Pemuda AMANAH Nasional mengucapkan tahniah pada Kerajaan pimpinan YAB PMX (Perdana Menteri ke-10) dan juga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas kejayaan pelaburan ini.

“Atas sebab itu, Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa demi kepentingan dan masa depan anak muda Malaysia, kerajaan yang ada pada hari ini perlulah kekal sekurang-kurangnya selama satu penggal penuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 17 Jun lalu, ribuan pencari kerja dilapor beratur seawal jam 10 pagi di pejabat Cyberview Sdn Bhd dekat Persiaran Apec, Cyberjaya walaupun sesi temuduga ‘walk-in’ Tesla Malaysia itu dijadualkan bermula dari jam 12 tengah hari sehingga 4 petang.

Fadhli Umar (dua dari kiri) dalam satu sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara.

Mengulas lanjut, Fadhli dalam masa sama berkata, Pemuda AMANAH Nasional menyeru supaya pelbagai agensi di bawah MITI seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) lebih agresif menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi dunia.

Jelasnya, usaha itu bagi membolehkan anak muda di negara ini khususnya dapat diberi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau menegaskan bahawa anak muda bukanlah tidak mahu bekerja mahupun malas mencari kerja tetapi dahagakan peluang kerja berkemahiran tinggi setimpal dengan pelbagai bidang pengajian yang dipelajari.

“Kementerian Sumber Manusia juga melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) perlulah memainkan peranan yang lebih efektif dan membanyakkan program job-matching supaya lebih ramai anak muda mendapat pekerjaan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi daripada pelbagai syarikat yang berada dalam negara,” katanya lagi.

Tesla Malaysia sebelum itu mengiklankan pengambilan pekerja untuk operasi ibu pejabatnya yang pertama di negara ini.

Lima perjawatan dibuka iaitu penasihat jualan, penasihat jualan perusahaan, penasihat penghantaran, pakar sokongan pelanggan dan penasihat perkhidmatan.

Awal Mac lalu, Tesla mengumumkan akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia menerusi Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla.

Keputusan Tesla itu selepas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meluluskan permohonan multinasional Amerika Syarikat (AS) tersebut untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke negara ini.