Empat projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup di kawasan luar bandar seluruh negara sudah dilaksanakan Felcra Berhad bagi menampung keperluan bekalan makanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin dengan 300,000 ekor bagi satu pusingan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga memaklumkan projek berkenaan juga dilaksanakan di Sungai Damak, Lipis, Pahang (250,000 ekor/pusingan); Padang Terap, Kedah (250,000 ekor/pusingan) dan Paloh 4, Gua Musang, Kelantan (250,000 ekor/ pusingan).
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata, projek mega ternakan secara tertutup itu berpotensi mengubah landskap sebuah pekan kecil atau desa kepada persekitaran berkualiti.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada generasi warga peserta untuk membina kerjaya serta menjana pendapatan, selain dapat mengisi kekosongan jawatan yang akan ditawarkan.
“Ia dapat dilakukan melalui pelbagai aktiviti penjanaan ekonomi setempat, seperti aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, pembinaan dan kontrak serta aktiviti lain yang berkaitan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan juga berkata program tersebut merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan rakyat, melalui Pelan Transformasi FELCRA 2.0 seterusnya memperkukuh ekonomi negara secara keseluruhannya.
Tambahnya, isu keterjaminan makanan akan menjadi antara elemen penting dalam usaha berterusan kerajaan untuk memastikan perancangan rantaian bekalan dalam negara terus berdaya tahan dan dapat memberikan kelangsungan kehidupan kepada seluruh rakyat negara ini.