Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Barisan Nasional (BN) terutama ahli UMNO perlu ‘move on’ dan jangan sesekali toleh ke belakang kerana boleh menyebabkan hubungan dan kerjasama yang terbina dalam Kerajaan Perpaduan terjejas, menurut Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penerangan Khas ‘ Road To PRN’ di Dewan Seminar Pejabat UMNO Bahagian Hulu Selangor anjuran Biro Penerangan UMNO bahagian dekat Kuala Kubu Bharu, pada Ahad.

”Kerjasama dengan parti terbabit sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan langsung tidak menjejaskan perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu di negara ini, ” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), pengundi negeri ini jelasnya perlu memastikan kerajaan yang bakal terbentuk selepas PRN tidak lama lagi, seiring dengan Kerajaan Persekutuan demi kelangsungan kemajuan dan pembangunan di Selangor .

Justeru, tindakan pengundi yang cuba menukar kerajaan sedia ada akan menyebabkan kerugian kepada rakyat di Selangor sendiri.

“Pengundi perlu sedar ada negeri tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan kerana ketidakupayaan pemimpin politik mereka untuk mewujudkannya kepada rakyat.

“Kita lihat sebahagian besar orang yang bekerja di sesetengah kawasan di Selangor adalah dari Kelantan dan Terengganu kerana kegagalan kerajaan negeri terbabit gagal menyediakan peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda,” katanya.

Rakyat atau pengundi di negeri ini juga jelas beliau perlu sedar sebahagian kemajuan dan pembangunan di negeri ini yang sedang dikecapi diasaskan hasil perjuangan kerajaan BN terdahulu.

“Jadi dalam PRN ini, biarlah BN menjadi penyumbang pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor supaya pimpinan BN akan terus dapat menyumbang kepada kemakmuran negeri Selangor,” katanya.

Hulu Selangor menjadi destinasi pertama Ahmad Shabery turun padang memberi penerangan berkenaan isu semasa dan kepentingan Kerajaan Perpaduan perlu dibentuk di negeri ini selepas PRN.