Bilangan graduan dihasilkan dalam bidang pertanian berlandaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih kurang memberangsangkan dan perlu dipertingkatkan pada masa akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ketika ini 600 graduan dilahirkan setahun dalam bidang pertanian dan ia belum mencukupi untuk memastikan kesinambungan keterjaminan makanan pada masa depan kekal terjamin.
Mengulas lanjut, katanya, anak muda sekarang inginkan pendapatan cepat seperti menjadi pemandu e-hailing dengan setiap bulan dilaporkan kira-kira 10,000 memohon untuk mendaftar dalam sektor itu.
“Bidang pertanian ini kita tahu hasilnya lambat, tetapi sebenarnya ia memberikan pulangan yang berterusan dan lumayan pada masa akan datang.
“Justeru kita perlu menguar-uarkan bahawa pertanian mempunyai masa depan cemerlang dan anak muda perlu terbabit dalam sektor ini.
“Buat masa ini, kita bekerjasama dalam bidang pertanian dengan agensi di bawah kementerian (diterajui) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta beberapa kementerian lain,” katanya ketika merasmikan Ekspo Pakar Pertanian 2024, di sini, hari ini.
Selain menjadi satu platform pertukaran pengetahuan, Ekspo Pakar Pertanian 2024 selama tiga hari bermula semalam itu juga dianggap menjadi pintu gerbang ke arah pemantapan sektor pertanian supaya ia lebih berdaya saing dan mampan.
Sejumlah 278 pempamer termasuk dari Vietnam, Hong Kong, China, Australia dan Amerika Syarikat (AS) menyertai ekspo ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pada tahun ini empat pembangunan industri iaitu padi dan beras, ayam itik dan telur, bawang merah dan nanas ditekankan dalam memastikan kemajuan berterusan untuk menangani cabaran keselamatan makanan dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian.
“Inisiatif ‘Gelombang Padi’ sudah digerakkan mulai tahun ini di mana dalam masa tujuh hingga 10 tahun lagi, Kadar Sara Diri (SSR) beras negara akan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus sekali gus berupaya mengurangkan kebergantungan negara terhadap eksport.
“Selain itu usaha memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, memperkasa pembekalan input pertanian dan penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.
“Bagi bawang pula, KPKM berusaha mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus dan tiga jenis bawang kecil yang boleh ditanam di Malaysia iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 akan cuba dikomersialkan pada 2026 dengan hasil sekitar empat hingga enam tan metrik per hektar bagi sekali penuaian,” katanya.
Jelasnya, bagi industri ayam dan telur pula, potensi kerjasama yang boleh dijalinkan adalah dari segi penyelidikan dan perkongsian teknologi baka ayam Arian dari Iran, manakala industri nanas juga semakin mendapat sambutan dan dijangka dapat mengeksport kira-kira 700,000 tan ke luar negara.-BH Online