Kerajaan menjelaskan buat masa ini tiada tindakan perundangan sedang diambil bagi mendapatkan semula hak ke atas Batu Puteh yang menjadi pertikaian lebih 30 dekad antara negara dan Singapura.
Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bagaimanapun berkata kerajaan sekarang sedang menjalankan rundingan bersama Singapura berhubung beberapa perkara.
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan rundingan antara kedua-dua kerajaan dipercepatkan.
“Kerajaan Malaysia sedang merundingkan perbatasan maritim perairan Batu Puteh dengan Kerajaan Singapura melalui mekanisme rundingan dipercepatkan dalam tempoh 12 bulan.
“Ia diarahkan oleh Perdana Menteri di bawah platform Mesyuarat Jawatankuasa Utama Malaysia-Singapore Joint Technical Committee (MSJTC) and Committee for Boundary Delimitation Established Pursuant to the Agreement between the Foreign Ministers of Malaysia and Singapore on 14 March 2019 (CBD) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil MSJTC dan CBD,” katanya dalam kenyataan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta kerajaan menjelaskan apa tindakan perundangan, selain Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang dan bakal diambil bagi mendapatkan semula hak ke atas Pulau Batu Puteh.
Selain itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang juga bertanyakan langkah akan diambil kerajaan untuk menjamin kedaulatan Malaysia ke atas Tubir Selatan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata dalam hal dibangkitkan, kedua-dua pihak iaitu kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju mengenai inti pati kandungan rundingan.
“Ia termasuk keputusan dan nota rundingan adalah bertaraf rahsia (confidential) dan tidak boleh didedahkan kepada pihak lain tanpa persetujuan bertulis pihak-pihak,” katanya.-BH Online