Sorting by

×

Sejak Palestin ditindas rejim Zionis 75 tahun lalu, Malaysia sehingga hari ini terus lantang memperjuangkan nasib negara itu tanpa kompromi.

Menegaskan perkara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata enam tuntutan sentiasa menjadi pegangan Malaysia dalam usaha dan komitmen memperjuangkan nasib menimpa bumi anbia itu daripada terus dijarah rejim Zionis.

“Malaysia kekal dengan pendekatan berprinsip iaitu menyokong pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel, pengembalian hak tanah yang telah dirampas dan hak pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Ia termasuk terus menyokong Palestin sebagai negara berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pendirian Malaysia ini bukan sahaja bermula pada 7 Oktober tahun lalu, tetapi ia bertitik tolak kepada perjuangan Palestin yang ditindas oleh rejim Israel sejak 75 tahun yang lalu.

“Malaysia akan terus lantang dalam menyuarakan enam tuntutan utama iaitu gencatan senjata serta-merta dan bantuan kemanusiaan segera, menghentikan aktiviti penempatan oleh Israel dan tindakan keganasan penduduk haram dan menghentikan serta-merta pemindahan orang awam Palestin secara paksa. 

“Dalam masa sama, Malaysia akan terus lantas menuntut siasatan ke atas semua pelanggaran undang-undang antarabangsa melalui institusi perundangan antarabangsa, menyokong Inisiatif Keamanan Arab dan rundingan penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 serta memerangi peningkatan global dalam Islamofobia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini, sebagai menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mahu mengetahui peranan terkini Malaysia dalam membantu rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kekejaman Israel.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata apa yang dilakukan jelas menunjukkan Malaysia konsisten dalam tindakan memperjuangkan hak asasi Palestin termasuk mengeluarkan kenyataan dalam mesyuarat dua hala dan pelbagai hala.

Ia termasuk di PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan mana-mana platform dua hala serta pelbagai hala bagi memperjuangkan isu Palestin.

Terbaru, katanya Kementerian Luar (KLN) diketuai Timbalan Menteri, Datuk Mohamad Al-Amin bersama beberapa Ahli Parlimen dan Senator menjejakkan kaki di Rafah bagi memperlihatkan kepada dunia sokongan Malaysia kepada Palestin.

Jelasnya, kehadiran Ahli Parlimen dan Senator Malaysia di Rafah juga sebagai menzahirkan komitmen berterusan negara dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan berterusan tanpa henti kepada Palestin.-BH Online