Gelombang kutukan dunia atas kekejaman Israel terhadap Palestin serta pencabulan terhadap hak rakyat negara itu kini amat besar, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata 52 negara baru-baru ini diberi peluang menyuarakan pandangan masing-masing di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda dan hampir kesemua senada serta satu suara mengutuk Israel selain menyatakan perbuatan itu mesti diambil tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mohamad berkata meskipun pelbagai resolusi diluluskan PBB dan Majlis Keselamatan PBB, Israel masih berdegil dan terus melakukan perbuatan yang bertentangan dengan amalan antarabangsa serta mencabuli undang-undang negara secara terang-terangan.
“ICJ telah dengar (hujahan dibawa) pada 16 hingga 24 Februari lalu, semua negara bentangkan bantahan dan pandangan masing-masing dengan tegas, walaupun ada dua ke tiga negara sokong Israel tetapi suara mereka ditenggelami.
“Kali ini Israel tidak mempunyai banyak pilihan dan kita bersama-sama bentangkan hala tuju untuk gencatan senjata yang kekal dengan cara mengadakan sistem dua negara iaitu pastikan Palestin merdeka dan diakui… ini sedang diusahakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Tok Mat di sini hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Malaysia sejak 2004 telah membawa isu berkaitan pembebasan Palestin daripada kekejaman Israel di ICJ dan pada kali ini suara negara mendapat sokongan serta dukungan amat besar daripada masyarakat antarabangsa.
“Dua hari lepas saya diberi peluang mewakili negara untuk menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap penaklukan dan penjajahan Israel termasuk membina tembok dan pagar mengelilingi Gaza, satu penjara terbuka terbesar di dunia bagi mengawal mereka,” katanya.
Terdahulu, dalam kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di ICJ pada Khamis (22 Februari), Mohamad dilaporkan berkata Israel mesti menghentikan semua “dasar dan amalan” berkaitan dan serta-merta berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia selepas ini akan terus menyokong usul dibawa Afrika Selatanberkenaan genosid dilakukan Israel sekali gus memperjuangkan hak Palestin.-BH Online