Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua pihak dinasihatkan tidak terus berpuas hati dengan pencapaian terkini Malaysia yang berjaya memperbaiki skor dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau sebaliknya meminta seluruh lapisan masyarakat memberi tumpuan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melonjakkan lagi pencapaian negara dalam pengukuran CPI, seiring dengan sasaran kedudukan ke-25 terbaik menjelang 2033.

Katanya, ini kerana pelanggaran serta pencerobohan integriti boleh berlaku, bukan hanya ketika berdepan orang ramai tetapi juga membabitkan penggunaan sistem digital yang berkemungkinan boleh dieksploitasi atau diubah suai.

“Biarpun kita berjaya meningkatkan penguatkuasaan, bukan bermakna kita perlu terus berpuas hati kerana masih banyak ruang lagi untuk penambahbaikan.

“Ini termasuk mempercepatkan pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional (NACS) bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang bermula 2019 hingga tamat tahun lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke-10, di sini, hari ini.-BH Online