Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

FGV Holdings Bhd (FGV) meluaskan lagi kehadirannya dalam segmen makanan & minuman (F&B) di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) dengan memperkenalkan dua produk makanan baharu di bawah jenama SAJI iaitu Krimer Pekat Manis SAJI dan Krimer Sejat SAJI.

Krimer Pekat Manis SAJI adalah alternatif yang mudah dan lazat untuk minuman seperti kopi, teh atau ‘smoothie’ yang memaniskan serta melengkapkan rasa hidangan tanpa gula atau perasa tambahan. 

Menampilkan pilihan dalam pek 40 gram untuk penggunaan sekali, produk ini turut didatangkan dalam saiz yang lebih besar iaitu 390 gram dan 500 gram. Krimer ini dihasilkan daripada pepejal susu, gula dan minyak sawit, lebih rendah kalori dan rendah lemak.

Turut diperkenalkan adalah pilihan tanpa gula, Krimer Sejat SAJI yang boleh didapati dalam pek 170 gram dan 380 gram.

Produk ini menambah tekstur yang lebih berkrim untuk minuman seperti kopi, teh dan coklat panas serta mampu menambah kelazatan hidangan.

Kedua-dua produk ini menawarkan jangka hayat yang lebih lama, tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk menjadikannya barangan keperluan dapur yang senang untuk digunakan. 

Tambahan lagi, produk ini bukan sekadar untuk penyediaan minuman, malah boleh digunakan dalam pelbagai resipi masakan seperti pencuci mulut, kek, roti serta hidangan lauk pauk.

Majlis pelancaran kedua-dua produk ini diadakan di Gulfood 2024, ekspo makanan terbesar di dunia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai pada 19 hingga 23 Februari.

Ia dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Turut hadir, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Rastam berkata, Krimer Pekat Manis SAJI dan Krimer Sejat SAJI adalah produk kedua dan ketiga keluaran FGV selepas melancarkan marjerin ADELA pada Gulfood tahun lalu. 

“Kami yakin produk-produk ini akan menerima sambutan yang baik di rantau ini, sekali gus mengukuhkan kehadiran FGV sebagai syarikat makanan yang dipercayai di pasaran luar negara,” katanya.

FGV komited sepenuhnya bagi memenuhi permintaan yang meningkat bagi produk berkualiti, berkhasiat dan mampu milik di pasaran melalui pelbagai jenama barangan penggunanya seperti SAJI, ADELA, SERI PELANGI, GULA PRAI, LADANG’57 serta BRIGHT COW. 

Pada Gulfood 2023, FGV melancarkan Marjerin ADELA, marjerin pelbagai guna yang diperbuat daripada minyak sawit terbaik dan diperkaya dengan sembilan vitamin. 

Sejak kemunculannya, marjerin ADELA berjaya menarik minat dan pertanyaan dari pelbagai pihak, membuktikan yang semakin kukuh di pasaran MENA. 

Pada 2023, eksport makanan diproses Malaysia mencatatkan nilai sebanyak RM30.3 bilion berbanding RM28.4 bilion tahun sebelumnya. 

Pasaran dan ekonomi MENA berkembang pesar dengan percambahan populasi menjadikannya rantau ini destinasi yang tepat bagi perniagaan untuk meluaskan pangkalan pengguna.-BH Online