Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Jerman komited untuk memperkukuh hubungan, kerjasama dan diplomasi pertahanan termasuk dalam peluang latihan bersama, program pendedahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pembangunan industri pertahanan tempatan.

Kementerian Pertahanan berkata, perkara itu dizahirkan dalam pertemuan bilateral Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rakan sejawatnya, Boris Pistorius ketika lawatan rasmi ke Jerman dari 15 Februari hingga semalam.

“Lawatan rasmi Menteri Pertahanan ke Jerman ini dilihat penting dalam memastikan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan negara rakan kerjasama pertahanan terus diperkukuh.null

“Perkara itu selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara dan Perkongsian Wibawa yang termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled dan delegasinya turut menyertai Persidangan Keselamatan Munich (MSC) yang berlangsung dari 16 Februari hingga semalam.

“MSC adalah persidangan keselamatan tertinggi yang dianjurkan Jerman sejak 1963 membabitkan penyertaan menteri pertahanan, ketua angkatan tentera dan pemimpin kerajaan dari rantau Eropah serta seluruh dunia.

“MSC yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini menjadi platform antarabangsa penting untuk pertukaran pandangan mengenai dasar keselamatan antarabangsa,” katanya.

Mohamed Khaled juga sempat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen untuk membincangkan isu strategik serantau dan kerjasama dua hala.

Kementerian Pertahanan berkata, Malaysia dan Singapura komited mempertingkatkan peranan ASEAN dalam konteks pertahanan serta akan terus mendukungnya melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahana ASEAN (ADMM).

“Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut bertemu Menteri Pertahanan Kanada, Bill Blair bagi membincangkan pelbagai isu dan kedinamikan aspek pertahanan termasuk dalam diplomasi pertahanan, kesan perubahan iklim serta potensi masa depan hubungan Kanada dengan rantau ASEAN,” katanya.

Selain persidangan dan pertemuan bilateral itu, Mohamed Khaled dan delegasi turut mengadakan lawatan ke pejabat Brainlab AG serta bertemu dengan kumpulan syarikat Rheinmetall.

“Delegasi Malaysia diberikan taklimat dan penerangan mengenai teknologi serta inovasi terkini syarikat berkenaan dalam bidang perubatan dan pertahanan.

“Mohamed Khaled dan wakil industri turut membincangkan usaha boleh dilaksanakan dalam meningkatkan kerjasama di antara industri Malaysia dan Jerman,” katanya.-Bernama