Kepakaran warga Kementerian Sumber Manusia (KSM) membangunkan sendiri Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM8 juta.
Menzahirkan kekaguman dan kebanggaannya, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata kelebihan itu akan membawa kepada lebih banyak pencapaian pada masa akan datang.
“Dulu orang ingat penjawat awam tidak boleh bangunkan sendiri apa-apa sistem, jadi kita (kerajaan) kena lantik kontraktor.
“Penjawat awam adalah pelaksana, pemikir dan perangka strategi. Semua kebolehan ini ada dalam perkhidmatan awam dan kita harus memberi peluang kepada mereka,” katanya berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan KSM di sini, hari ini.
MySPIKE adalah platform tunggal yang digunakan dalam proses pentauliahan program, perakuan kakitangan, pendaftaran pelajar, pengesahan penilaian dan persijilan keseluruhan agensi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mengguna pakai Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
Dalam usaha meningkatkan pencapaian perkhidmatan KSM, Steven mengajak warga KSM mengguna pakai falsafah Ren dan Li yang juga kepercayaan masyarakat Cina, dalam melaksanakan tugasan harian.
Beliau memetik pemikiran diasaskan Kung Fu Tze untuk meningkatkan moral dan menjaga etika manusia, yang mana Ren bermaksud kasih sayang dan perikemanusiaan manakala Li membawa pengertian kesusilaan.
Pada majlis sama, Steven mengambil peluang menyambut kedatangan Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, yang memulakan tugasnya secara rasmi pada 23 Januari lalu.
“Selamat datang. Saya difahamkan ini kali pertama beliau jadi KSU (Ketua Setiausaha). Walaupun tugas baharu, tetapi beliau telah beberapa kali turun padang. Saya hargai kesungguhan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Steven turut menyentuh pegangan KSM yang mendukung prinsip 3K iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja, terutama rakyat Malaysia.
“Ada yang komen kenapa kita nak baik sangat dengan pekerja asing, namun saya sudah nyatakan sejak awal bahawa KSM tidak harus dikenali sebagai kementerian pekerja asing semata-mata, sebaliknya mendukung penuh 3K.
“Bagaimanapun, jika kita biarkan pekerja asing dizalimi, nama baik negara akan rosak manakala sekiranya sistem sedia ada menindas warga asing, mungkin satu hari sistem yang sama turut menindas rakyat Malaysia.
“Jika kita benarkan majikan menindas pekerja asing, pasaran kerja pasti lebih suka mengambil pekerja asing kerana mudah diperbuat sesuka hati,” katanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku di Pengerang sebelum ini wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk tidak diulangi.
Baru-baru ini, seramai 733 pekerja Bangladesh yang dibawa ke negara ini untuk bekerja di Pengerang, Johor menerima tunggakan gaji lebih RM1 juta.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTSM) mengeluarkan arahan pembayaran itu selepas melaksanakan prosiding pendengaran kes tuntutan buruh tidak diberi pekerjaan seperti dijanjikan selepas dibawa masuk ke negara ini.-BH Online