Satu laporan polis dibuat terhadap Che’gubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin berhubung kenyataan berunsur fitnah membabitkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, menerusi hantaran di Facebook.
Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nadia Fathin Syahira Ahmad Nazri berkata, hantaran tersebut turut memaparkan maklumat peribadi Nurul Izzah termasuk nama dan alamat yang bersifat sulit.
Menurutnya, ia secara tidak langsung mengganggu-gugat keselamatan dan privasi diri serta keluarga mangsa.
“Saya berharap agar tindakan serius dapat diambil terhadap pemilik akaun Facebook itu dan individu yang terlibat dalam penyebaran maklumat serta dokumen peribadi tanpa kebenaran.
“Ini untuk memastikan segala maklumat, data, hak privasi dan keselamatan semua dilindungi serta perkara tersebut tidak akan berulang kepada orang lain,” katanya menerusi hantaran di X pada Isnin.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook memuat naik satu hantaran berunsur fitnah terhadap Nurul Izzah yang mengatakan bahawa beliau telah dilantik sebagai penasihat Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) serta menerima gaji sebanyak RM35,000.
Hantaran tersebut turut menyatakan Nurul Izzah dibekalkan dua kakitangan dengan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000.
Dalam pada itu, tambah Nadia, pengguna media sosial perlu bertanggungjawab dengan perkongsian masing-masing.
“Pastikan kesahihan kerana negara ini adalah negara yang berundang. Tak pasti jangan kongsi,” tegasnya.-Astro Awani