Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Banyak usaha dilaksanakan kerajaan untuk menyokong ringgit tetapi ia mengambil masa untuk melihat hasilnya, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, penstrukturan semula ekonomi, pengukuhan fiskal dan mengurangkan hutang adalah usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi bagi menarik kemasukan dan meningkatkan keyakinan pelabur ke negara ini, sekali gus akan menyokong prestasi mata wang tempatan itu.

Katanya, usaha menstruktur semula ekonomi, mengukuhkan fiskal dan mengurangkan hutang adalah tanggungjawab kerajaan yang akan dilihat boleh meyakinkan pelabur dan pedagang terhadap ekonomi negara.

“Bila mereka (pelabur dan pedagang) lebih yakin bahawa keadaan lebih kukuh berbanding sebelum ini. Keyakinan itulah yang akan membawa masuk balik pelaburan portfolio kewangan dan (dengan) eksport lebih baik, itu juga akan meningkatkan ringgit,” katanya.

null

Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha yang dilakukan kerajaan untuk menaikkan nilai ringgit dalam Episod 3 Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) yang disiarkan di platform media sosialnya.

Rafizi berkata, terdapat faktor luaran yang mempengaruhi prestasi ringgit dalam jangka pendek iaitu ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau berkata, di AS, kadar faedahnya lebih tinggi berbanding di negara ini, sekali gus keadaan itu mempengaruhi aliran wang untuk masuk ke ekonomi terbesar dunia itu.

Manakala di China pula, jelasnya, ekonomi kedua terbesar dunia itu pula sedang melalui fasa ekonomi berkembang perlahan daripada dijangkakan iaitu empat hingga lima peratus berbanding lapan hingga sembilan peratus sebelum ini.

Justeru, katanya, keadaan itu memberi kesan kepada mata wang tempatan dan ia adalah di luar kawalan kerajaan.

“Kesan atau pengaruh jangka pendek (yang mempengaruhi nilai ringgit) semua orang sudah tahu adalah akibat ketidaktentuan yang berlaku di dua ekonomi utama dunia iaitu AS dan China yang ada kesan besar kepada kita.

“Kita juga ada masalah jangka panjang. Ekonomi kita telah terbantut dalam perangkap pendapatan pertengahan. Nilai ekonomi yang dijana tidak boleh dinaikkan daripada (paras) itu.

“Kita kena bersabar dan tumpu kepada menstruktur ekonomi kita supaya tiga hingga empat tahun akan datang industri dan syarikat yang boleh menawarkan potensi pulangan lebih baik dan ini akan menarik minat ke Malaysia. Lagi banyak menarik minat ke Malaysia, maka lebih banyak wang masuk dan ringgit akan naik,” katanya.-BH Online