Kementerian Komunikasi sedang dalam pelaksanaan menaik taraf capaian internet di seluruh negara terutama melibatkan kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Antara usaha yang dilakukan adalah pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai syarikat perkhidmatan satelit.
Menteri komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedang mengkaji penyelesaian teknologi yang sesuai digunakan untuk menyediakan perkhidmatan internet.
“Saya minta satu dasar dimana ada jalan di situ ada internet. Kita sedang kaji beberapa penyelesaian teknologi, waktu ini kementerian dimaklumkan ada beberapa syarikat menyediakan perkhidmatan satelit sebagai menara, jadi ada beberapa syarikat yang sedang mengusahakan, jadi kita nak manfaatkan supaya dimana sahaja kita berada insyaallah kita akan ada line internet. tapi dia akan makan masa sikit..mungkin setahun 2 tahun kerana teknologi itu sangat baru,” kata Fahmi ketika berucap pada perasmian Program Jiwa MADANI di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Goh, di sini.
Sementara itu, Fahmi turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan skim pelaburan serta sebarang panggilan yang tidak pasti.
Beliau berkata masyarakat perlu peka dan membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan.
“Saya risau masalah kita hadapi antara lain ialah scam, klik pautan dapat RM500 bantuan, (tetapi) bila tekan keluar lain sekiranya anda mendapat panggilan daripada pihak tidak pasti, tolong semak, setidak-tidaknya jangan layan dulu dan buat semakan.
“Scammer sentiasa berusaha untuk tipu kita dengan cara paling senang … jangan mudah percaya,” katanya ketika berucap pada Program Jiwa MADANI di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Goh di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya dan Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.-Berita RTM