Sorting by

×

Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah bawah kementerian itu bagi mempercepat reformasi pendidikan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Jelasnya, agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.

“Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan yang berlaku dan dijayakan dalam konteks prasekolah ini, antara lain ialah perluasan prasekolah yang akan kita bincangkan dari segi kualiti pendidikan yang juga sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan untuk menjayakan isu prasekolah,” katanya kepada pemberita di sini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) negeri Pulau Pinang di sini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Jemaah Menteri pada 24 Januari lepas memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.

Sehubungan itu, KPM sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM telah selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) September tahun lepas dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

“KPM telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan apa saja tindakan kerana di peringkat KPM kita telah selesai (jalankan siasatan) kita tunggulah tindakan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Dalam kejadian pada 24 September 2023, seorang pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh itu cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar selepas mendakwa diserang empat pelajar senior.-Berita RTM