Sorting by

×

Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM500,000 untuk pembinaan dua tapak campervan (van perkhemahan) di Pantai Batu 5, di sini dan di Taman Eko-Rimba Lenggeng.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan pengukuhan produk pelancongan sedia ada serta pembinaan produk baharu bagi menarik lebih banyak kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Dan kita harap dengan adanya kemudahan ini dan kita tahu bahawa jumlah campervan ini juga telah meningkat, saya harap bahawa mereka dapat menjaga, menghargai kemudahan yang disediakan kerana kos yang kita sediakan bukannya sedikit dan kita harap ini dapat digunakan dan dimanfaatkan,” kata Aminuddin kepada media dalam Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan (COE) Negeri Sembilan Tahun 2024 di Tapak Campervan, Pantai Batu 5, di sini.

Penyediaan tapak campervan Pantai Batu 5 Port Dickson telah bermula 19 September 2023 dan siap sepenuhnya pada 28 November 2023 itu boleh memuatkan sebanyak 12 buah campervan pada satu masa.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, penguatkuasaan lebih agresif akan dilaksanakan di sepanjang persisiran pantai Port Dickson bagi memastikan kebersihan di kawasan itu sentiasa terjaga.

Ini sekali gus menjamin keselesaan dan kepuasan pengunjung yang hadir khususnya sempena cuti persekolahan yang akan datang.

Beliau turut menegaskan pengunjung yang hadir juga perlu mematuhi segala arahan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) agar kawasan itu dapat menarik lebih ramai pelancong ke daerah itu.

“Kita telah bersedia dari bulan lepas lagi dan lebih sebulan kita bersedia dan saya berharap dapat diteruskan dan penguasaaan dapat dijalankan dengan bersungguh sungguh. Dan saya juga meminta pengunjung menghormati peraturan dan keadaan yang ada di Port Dickson ini. Kita meraikan kehadiran tetapi juga kita mengharapkan kerjasama daripada mereka supaya mereka faham bahawa ini harus dijaga ini aset ataupun tempat pelancongan yang harus dihargai, ” katanya.

Aminuddin turut memaklumkan bahawa pihaknya berpuas hati dengan maklum balas pengunjung yang mematuhi arahan larangan perkhemahan di tiga pantai utama di kawasan itu yang mula dikuatkuasakan pada Januari lalu berikutan aduan berkenaan kebersihan pantai dan sebagainya.-Berita RTM