Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebarang langkah dan cadangan bagi memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia kerana perkara itu sudah terikat dengan perjanjian dan jaminan Perlembagaan.

“Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan kita membatalkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini. Yang kita nak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan-jawatan baharu.

“Ini termasuklah jawatan politik, itu cadangan kita yang kita akan bentang di Jemaah Menteri dan di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana ia sudah terikat dengan perjanjian dan juga jaminan Perlembagaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di sini, hari ini. 

Dalam pada itu Anwar berkata ahli politik atau kakitangan kerajaan yang menerima beberapa pencen wajar memilih hanya satu pencen sahaja untuk diterima dan menolak yang lain.

Ujarnya, langkah itu dilihat sebagai memenuhi tanggungjawab moral mereka.

“Cuma dari segi moral, orang yang dapat gaji menteri, menteri besar atau pekerja jabatan kerajaan yang dapat tiga empat pencen, mungkin melihat keadaan ini, memenuhi tanggungjawab moral dia untuk menolak pencen yang lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya.

Anwar mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan, memandangkan bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).

Mubarak turut meminta agar skim pencen penjawat awam diteruskan. -Berita RTM