Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersetuju meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata penubuhan itu akan memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di Malaysia terpelihara.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata mesyuarat itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Katanya, komitmen Anwar telah menghasilkan keputusan positif di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berpandukan kes yang dibawa Afrika Selatan, yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan.

Selain itu, UMNO Malaysia melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Februari ini bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Resolusi kolokium itu akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024.

Dalam pada itu, katanya, tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2024 bermula dari 21 hingga 24 Ogos ini.

“Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan pula akan diadakan pada 22 April hingga 2 Jun ini. Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan berlangsung pada 21 Jun hingga 29 Julai 2024,” katanya menerusi kenyataan.-Berita RTM