Kerajaan Pahang memperkenalkan Rebat Air Makmur (RAM) dengan sasaran penerima seramai 38,000 pengguna daripada kalangan B40, bagi meminimumkan kesan pelarasan tarif air.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang hari ini, dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.6 juta, setahun.
“Skim ini akan melibatkan golongan B40 dalam kumpulan penerima Bantuan e-Kasih, penerima Bantuan i-Damak, selain penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP),” kata kenyataan itu.
Inisiatif itu membolehkan penerima layak mendapat manfaat melalui pemberian air percuma bagi penggunaan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan, tiada kenaikan caj bayaran bil air bulanan dan rebat bulanan bernilai RM10.
RAM akan diberi secara automatik kepada semua pengguna sasar.
Sementara itu, bagi pengguna yang tergolong dalam golongan sasar, namun tidak menerima rebat secara automatik atas sebab tertentu, boleh memohon dan menyemak di kaunter pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Daerah terdekat, bermula esok.
Tegasnya, PAIP sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi ‘menang menang’ kepada semua pihak yang terlibat.
“Selama 40 tahun kerajaan Pahang tidak melakukan penyelarasan tarif air dan sudah tiba masa kerajaan negeri memulakan langkah bagi memastikan keterjaminan, meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan bekalan air pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.-Berita RTM