Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengakui tidak pasti bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat maklumat mengenai ramai orang Melayu bunuh diri dan membunuh ibu bapa disebabkan tekanan akibat peningkatan kos sara hidup.
Menyifatkan kenyataan bekas itu sebagai mengelirukan, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan menggesa orang ramai tidak melayan kenyataan dikeluarkan Mahathir, sambil mendakwa bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang ‘attention seeker’ atau dahagakan perhatian.
“Mungkin dia pakai ‘ilmu’ lain. Sukar untuk saya jawab secara fakta ilmu apa yang dia pakai (sampai keluarkan kenyataan sebegitu).
“Saya rasa dia ini ‘dahaga perhatian’ (attention seeker)… beliau (Mahathir) hanya nak cari perhatian pada waktu ini.
“Saya rasa kita tidak perlu layan lagi, kita hormat dan beri peluang, beri ruang,” katanya ketika sidang media hari ini.
Semalam, Mahathir ketika menyertai himpunan bagi menyatakan solidariti terhadap nasib menimpa rakyat dalam program Himpunan Selamatkan Rakyat di Pintu 2 Istana Negara, dilapor berkata tidak pernah jadi 17 orang Melayu bunuh diri, ada yang bunuh emak, bunuh ibu bapa kerana mereka hilang punca pendapatan.