Agenda pembangunan ekonomi tetap menjadi komitmen utama Kerajaan Perpaduan.
Ini termasuk pelaksanaan lima dasar utama pada 2023, sebagai usaha mereformasi pertumbuhan negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mendakwa pembaharuan yang dibuat kerajaan ketika ini lemah dan hanya memberi fokus kepada isu memerangi rasuah.
Ambiga turut menggesa kerajaan memberi keutamaan dan perhatian kepada isu berkaitan hak asasi seperti kebebasan bersuara.
“Saya sarankan beliau teliti semula dasar ini kerana ia tunjuk bukti kerajaan ada pandangan cukup jauh dan satu usaha reformasi besar bukan hanya usaha banteras rasuah,”katanya.
Fahmi menjelaskannya selepas menyaksikan Memorandum Persetujuan antara CelcomDigi dengan syarikat telekomunikasi Jepun SoftBank Corp dan SC-NEX di Putrajaya.
Pada 2023, lima dasar utama dilancarkan kerajaan termasuk dasar Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Di samping pelaksanaan kajian semula gaji dan saraan penjawat awam serta dasar gaji progersif.
Mengulas isu sama, Fahmi yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebebasan bersuara masih diamalkan secara sihat dalam negara.
Ini terbukti dengan pelbagai kandungan di media sosial yang masih bebas diterbitkan untuk mengkritik kerajaan.
Kebebasan itu bagaimanapun perlu dibatasi dengan undang-undang sedia ada. – Berita RTM