Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkatkan pelaburan dalam negara dan mengurangkan pelaburan di luar negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MoF) hari ini, berkata sekiranya ada keperluan, kerajaan bagaimanapun bersedia memberi kelonggaran kepada GLC dan GLIC untuk membuat pelaburan di luar negara.

Anwar juga telah meminta MoF dan Pantau MADANI menyelaraskan usaha supaya GLIC dan GLC melaksanakan pelaburan strategik selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Saya meminta kerjasama juga GLIC dan GLC supaya dapat berinteraksi secara langsung dengan pimpinan untuk memastikan pelaksanaan program-program (mereka) mengikut dasar yang kita tentukan.

“Saya beri contoh transisi tenaga, transformasi digital itu sangat mendesak dan kritikal bagi negara. Ia memerlukan penglibatan semua (kerana) transformasi digital itu, kalau kita tidak pantas dan pesat membuat perubahan, sistem pendidikan kita, tatakelola kita, akan menyebabkan kita ketinggalan,” kata beliau.

Anwar berkata dalam membuat keuntungan, GLIC dan GLC juga perlu mengambil tanggungjawab korporat lebih besar dalam pembangunan negara termasuk meningkatkan tahap kebajikan pekerja mereka.

“Saya ingat lagi laporan awal apabila kita menswastakan Tenaga (Tenaga Nasional Bhd), Telekom (Telekom Malaysia Bhd), saya kata mereka bila diswastakan, catat keuntungan besar, sepatutnya menteri kewangan ucap terima kasih.

“Oleh itu, saya ucap terima kasih tetapi saya tanya masalah mereka (pekerja) tidak selesai, umpamanya kemiskinan tegar keluarga di bawah Tenaga, Telekom, apakah ia masalah kementerian, tentunya masalah syarikat.

“Ada 15,000 pekerja, 5,000 pekerja tiada rumah, tak mungkinkah kita fikir ada rencana untuk membina perumahan untuk pekerja sendiri?

“Kita catat keuntungan dengan cakap soal pengkomersialan dan kita bebankan kelompok yang agak pendapatan rendah ini kepada kementerian dan kerajaan untuk menangani, saya tidak fikir itu munasabah,” kata beliau.

Justeru, Anwar mahu dalam tempoh sebulan ini, GLIC dan GLC memberikan laporan kepada kerajaan berkaitan perancangan mereka mengenai rencana pelaburan, Bumiputera, perumahan pekerja dan pendidikan termasuk meningkatkan mutu pendidikan.

Pada majlis itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada dua agensi utama kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana berjaya melepasi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan tahun lepas.

Pada tahun lepas, LHDN berjaya mengutip sebanyak RM 183 bilion berbanding RM 175 bilion pada 2022 manakala JKDM pula mengutip hasil mencecah RM 55 bilion berbanding RM 53 bilion pada tahun sebelumnya. – Bernama