Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini, membuat laporan polis berhubung gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan berkaitan Langkah Dubai itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, supaya pihak berkuasa dapat menyiasat gerakan yang jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.
Shamsul Iskandar berkata, gerakan Langkah Dubai itu jelas tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menggugat sistem demokrasi berparlimen, malah sia-sia kerana kewujudan Akta Antilompat Parti.
“Saya membuat satu laporan polis bagi menyiasat gerakan yang didakwa sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.
“Pendedahan dibuat oleh seorang penulis blog dikenali sebagai Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menggulingkan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.
Shamsul Iskandar berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh memudaratkan demokrasi, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.
Tegasnya, sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidastabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan.
Ditanya sama ada laporan yang dibuatnya itu menunjukkan kerajaan seolah-olah tergugat dengan gerakan terbabit, beliau sekadar berkata, sebarang usaha berkenaan perlu ditamatkan.
“Saya serahkan kepada mereka yang mendapat perspektif begitu, dan bagi pihak kerajaan, tentunya kita ingin menamatkan perkara ini sebab nanti dianggap kerajaan tidak berbuat apa-apa.
“Saya ingin menyatakan kepada mereka di luar sana, Malaysia ini ada undang-undang, ada peraturan, ada perlembagaan dan kita sudah melalui episod ini banyak kali dan kita sudah beri penamatnya dengan adanya Akta Antilompat Parti,” katanya.
Katanya, mana-mana pihak seharusnya menyuarakan ketidakpuasan hati di Parlimen dan bukan dengan mewujudkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Jangan lupa waktu Perdana Menteri hari pertama di Parlimen pada 19 Disember 2022, perkara pertama ialah buat usul undi percaya, itu cara sewajarnya dan mengikut perlembagaan,” katanya.
Selain laporan di IPD Putrajaya, Shamsul Iskandar berkata, perkara sama turut dibuat di 12 negeri antaranya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa wujud gerakan dirancang bagi menjatuhkan kerajaan Anwar yang didalangi pemimpin parti pembangkang bersama wakil kerajaan.
Ismail mendakwa, rancangan yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul ketika percutian pemimpin PN termasuk dari wakil kerajaan di ibu kota UAE, baru-baru ini.-BH Online