Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan terhadap seorang kanak-kanak di luar negara secara dalam talian boleh dianggap sebagai melakukan jenayah di dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu termaktub dalam Seksyen 3, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].

Katanya, peruntukan itu membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan sedemikian di luar negara.

“Kerajaan kini sedang menjalankan kajian sewajarnya bagi meluaskan skop perlindungan undang-undang ini bagi merangkumi situasi di mana kesalahan dilakukan terhadap kanak-kanak Malaysia oleh mana-mana individu di luar Malaysia.

“Perkembangan undang-undang ini bertujuan untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada mangsa kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa mengira lokasi geografi pelaku,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu kepada kanak-kanak, diluluskan di Dewan Rakyat Mac lalu.

Akta itu antara lain untuk menggantikan terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ kepada ‘bahan penganiayaan kanak-kanak’ dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Azalina berkata, Kerajaan Perpaduan sedang meneroka langkah jitu ke arah memperkukuhkan lagi kerangka undang-undang sedia ada sedang diterokai.

Katanya, ini bagi menangani isu berkaitan eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

“Di bawah Akta 792, kesalahan berkaitan dengan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (Child Sexual Abuse Material, CSAM) dalam talian membabitkan enam kategori kesalahan, dengan hukuman dandl tempoh pemenjaraan selama lima tahun penjara sehingga 30 tahun serta sebatan” katanya.

Beliau menjelaskan Akta 792 juga memperuntukkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian yang lain termasuk pengantunan kanak-kanak (child grooming), berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak dan menyebabkan kanak-kanak memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Tahun lalu, dua pindaan baru sudah diluluskan untuk memerangi jenayah seksual terhadap

kanak-kanak dalam talian.

Seksyen baharu 15A, Akta 792 memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan persembahan seksual oleh kanak-kanak, manakala seksyen baharu 15B memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan pemerasan seksual kanak-kanak.

“Pada masa sama, Azalina menjelaskan Kerajaan Perpaduan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat antarabangsa dalam usaha global untuk menangani jenayah seksual kepada kanak-kanak.

“Perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dalam talian adalah tanggungjawab bersama dan Malaysia akan terus bekerja bersama komuniti global untuk mengatasi isu ini dengan berkesan,” katanya.-BH Online