Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan diselaraskan dalam tempoh terdekat supaya dapat disesuaikan dengan tugas seperti dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengakui fungsi jabatan itu perlu diteliti semula, namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara terbabit.

“Sebelum isu ini berbangkit pun, saya sudah mula untuk meneliti semula fungsi J-KOM, tetapi masih terlalu awal untuk membuat apa-apa pengumuman.

“Memang kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi dan tugas selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk dilaksanakan oleh agensi termasuk J-KOM,” katanya pada sidang media hari ini.

null

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai syor Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mengesyorkan supaya J-KOM dirombak semula khususnya selepas mendakwa mengenai kewujudan Langkah Dubai.

Terdahulu, Puad mengesyorkan supaya J-KOM di bawah Kementerian Komunikasi dirombak secara menyeluruh selepas agensi berkenaan mendakwa wujud ‘Langkah Dubai’.

Beliau menyifatkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop itu ‘cetek’ dan menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, usaha meneliti semula fungsi J-KOM penting supaya tugas, objektif dan matlamat jabatan itu dapat diselaras termasuk mengubah modus operandinya.

“Mengenai isu yang disebut itu, kenyataan yang dibuat (Ismail), saya difahamkan ia bukan asalnya kenyataan, tetapi mesej yang tersebar dalam beberapa ‘group WhatsApp’ dan seterusnya dalam bahasa Inggeris disebut ‘attributed to’ kepada Timbalan Ketua Pengarah dan J-KOM.

“Saya lihat ada beberapa perkara yang perlu diselaras semula untuk pastikan bahawa mungkin isu-isu seperti ini tidak berulang,” katanya.-BH Online