Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan kembali berada bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan unit khas yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India dalam negara sentiasa dipantau.
“Seperti yang kita thu, pada ketika itu MITRA mempunyai masalah. Jadi, setahun yang lalu, Kerajaan Perpaduan memperbetul program lebih telus, tidak menuju kepada badan politik tetapi terus kepada rakyat, pelajar dan sebagainya.
“Oleh kerana keadaan manjadi lebih baik, saya boleh pindahkan ke Kementerian Perpaduan namun saya tetap pantau,” katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini.
Perdana Menteri menekankan masyarakat India tidak perlu bimbang mengenai pentadbiran MITRA yang diletakkan di kementerian berlainan kerana peraturan telah ditetapkan, peruntukan diluluskan dan unit itu masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat bagi mengelakkan berlaku salah guna kuasa atau penyelewengan.
Berkenaan sesi dialog hari ini Anwar dalam satu hantaran di facebook berkata, “saya singgung kebhinekaan isu semasa dan polisi kerajaan yang menjadi tajuk utama laporan media kendatipun masalah rakyat dan negara yang memerlukan pena pengamal media untuk mencorakkannya.
“Moga pengamal media terus menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan rakyat dan negara terus menjadi keutamaan,” kata hantaran itu.
Anwar turut menjelaskan, peranan utama yang dimainkan pengamal media sebagai pencatat sejarah negara tidak boleh dinafikan sama sekali meski berdepan pelbagai tantangan, onak dan duri kehidupan.
“Media bukan asing dalam kehidupan saya dari awal dahulu sebagai ahli politiik sehinggalah kini bergelar perdana menteri,” katanya.-Berita RTM