Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membuat kenyataan mengejutkan apabila berharap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memikirkan semula keputusan daripada melepaskan jawatan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung bulan ini.

Perkara itu dimaklumkan Hannah dalam aplikasi X selain memberitahu yang program Road to Gold (RTG) direka bagi mengelakkan sekiranya berlaku perubahan kepimpinan dalam dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama.

“Dengan itu, saya berharap pengerusi bersama, Tan Sri Norza akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk berundur sebagai presiden BAM pada akhir tahun ini,” kata Hannah menerusi hantaran berkenaan.


“Sukan Olimpik Paris hanya beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini.”

null

Ogos lalu, Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk badminton itu pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM. 

Sebelum itu, Norza memutuskan untuk mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memberi tumpuannya terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA). 

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, BAM mengumumkan selepas ahli majlis badan itu sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baru mereka.

Norza pada ketika itu, berkata tarikh sebenar pelantikan Tengku Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat majlis yang akan datang bulan ini.