Lelaki disyaki menikam kedua ibu bapa kandungnya sehingga mati ditahan beberapa jam selepas melarikan diri dari lokasi kejadian di Kampung Sungai Penchala, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek melarikan diri ke hutan berhampiran selepas membunuh ibu bapanya berusia 72 dan 82 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini jam 10.30 malam.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan pergaduhan keluarga antara suspek dan ibu bapanya di sebuah rumah di Jalan Penchala Hilir 6, Kampung Sungai Penchala di sini, jam 7.43 malam.
“Akibat kejadian ini, sepasang suami isteri ditemui terbaring di atas lantai rumah dipercayai akibat ditikam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira dua jam 40 minit selepas suspek melarikan diri.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai ditikam anak lelaki kandung dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala di sini, malam ini
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.