Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan memberi bayangan akan mengumumkan peningkatan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula tahun 2024, selari usaha kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Digital yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menyemak perkara itu dan menjelang tahun depan, ia dijangka akan direalisasikan.

“Memang sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil. Saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya nanti.

“Tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga sudah meluluskan kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), di sini, hari ini.

Fahmi berkata, dua perkara itu penting memandangkan tahun hadapan adalah tempoh penting di mana ekonomi mula rancak dengan pelbagai pelaburan diperoleh pada tahun ini.

“Jadi banyak kerja-kerja yang akan bermula dan cabarannya pasti ada untuk memastikan pelaksanaan tidak terencat atau tergendala akibat proses,” katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan kecekapan penjawat awam semakin berkurangan, beliau menafikan perkara itu memandangkan pelbagai isu boleh timbul antaranya beberapa sistem tertentu perlu dinaik taraf bagi mengelakkan perkara itu berlaku.

“Dalam masa yang sama, kadang-kadang isu bajet dan masa juga boleh berlaku, jadi individu yang bertanggungjawab perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami di mana kecekapan dan intervensi boleh diperbaiki.

“Sebagai contoh di kementerian saya juga pernah berlaku di mana projek tidak berjalan dengan lancer hingga menimbulkan persepsi buruk, tetapi sebenarnya sistem pemantauan perlu dipertingkatkan,” katanya.-BH Online