Sayap tentera Hamas pada Isnin mendakwa bahawa pejuangnya memusnahkan 60 kenderaan tentera Israel di Gaza dalam tempoh 72 jam lalu.
Dalam mesej yang dirakam, jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida, menyatakan bahawa antara kenderaan tentera Israel yang menjadi sasaran serangan sejak tiga hari lalu, termasuk 10 kenderaan pengangkut tentera.
Agensi Anadolu melaporkan, Abu Obeida juga menyatakan bahawa “pertempuran sengit” sedang berlaku dengan tentera Israel di beberapa kawasan di seluruh Semenanjung Gaza.
“Kami mengesyaki bahawa musuh (tentera Israel) mengebom tenteranya di darat dengan mempercayai sejumlah askarnya ditangkap dalam operasi yang kami lakukan terhadap kenderaan pengangkut tentera di Bandar Gaza,” kata Obeida.
Sekurang-kurangnya 66 askar Israel terbunuh sejak permulaan operasi darat Israel di Gaza pada 27 Oktober, menurut media Israel.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza termasuk menyerang hospital, kediaman, dan rumah ibadat sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 13,300 rakyat Palestin, terbunuh, termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,550 wanita.
Angka kematian Israel hampir 1,200, menurut angka rasmi.-Harian Metro