Keperluan Benih Padi Sah (BPS) bagi musim 2/2023 untuk petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah mencukupi.
Melalui satu kenyataan media MADA, keperluan BPS yang direkodkan pada ketika ini adalah sebanyak 964,507 tan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan peruncit sah yang dilantik akan membuat pengedarannya.
“Melalui PPK MADA, pesanan yang diterima adalah 130,846 beg BPS dan sehingga 16 November lalu, sebanyak 78,033 daripada 84,266 beg BPS yang diterima sudah diedarkan.
“Malah, dalam Mesyuarat Penyelarasan Benih Padi Sah pada 15 November lalu yang dipengerusikan Pengurus Besar MADA, komitmen syarikat pengeluar bagi stok sedia terjual dan sedang diedarkan adalah sejumlah 9,039 beg BPS bagi varieti MR297 dan MR315 melalui Kilang Pertama Padi, Kilang Seri Merbok dan Kilang OBL Maju.
“Manakala sejumlah 8,000 beg BPS turut diluluskan melalui MADACorp. Bermula minggu hadapan, komitmen pengeluar bagi stok menunggu kelulusan makmal Jabatan Pertanian Malaysia dijual dalam tempoh satu minggu kepada PPK MADA membabitkan 22,339 beg BPS bagi varieti MR297 dan MR315,” katanya.
Tambah MADA, petani juga juga akan mendapatkan bekalan BPS dari pengeluar benih padi yang sah serta ejen swasta yang berdaftar.
“Pada 14 November lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu bersama pengurusan tertinggi MADA turut membuat lawatan ke kilang bagi memastikan stok BPS sentiasa ada dan mencukupi.
“Kempen pengembangan penggunaan BPS oleh pegawai MADA di lapangan turut diadakan secara berterusan termasuk pengesyoran penggunaan varieti tempatan selain dari MR297, yang berhasil tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, MADA menggesa pengeluar padi menjalankan tanggungjawab mereka dengan memastikan peladang mendapat bekalan benih padi sah pada harga yang munasabah di dalam tempoh waktu yang sewajarnya bagi memastikan peladang dapat melaksanakan aktiviti tanaman padi musim ini mengikut jadual.
“Berdasarkan rekod, status kemajuan aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 di Kawasan Muda bagi penyediaan tanah adalah pada tahap 87.9 peratus dan tanam pada tahap 40.2 peratus.
“Kita sentiasa peka dan akan terus membantu para peladang agar memastikan stok BPS mencukupi bagi aktiviti tanaman padi Musim 2/2023,” katanya.