Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara bagi menjamin kesejahteraan serta kebajikan guru, murid dan seluruh warganya.

Penegasan KPM itu hadir susulan video tular di media sosial sepanjang dua hari lalu membabitkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid di Sabah yang dilaporkan tidak memiliki kediaman hingga terpaksa tinggal di stor sekolahnya.

KPM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan itu sudah pun dilaksanakan.

Ia membabitkan pembinaan blok akademik, pentadbiran dan kemudahan lain manakala pembelian perabot pula sedang rancak dibuat.

Kenyataan sama turut menjelaskan pembinaan empat kuarters baharu di sekolah berkenaan sudah diluluskan ketika pembentangan Belanjawan 2024.

“KPM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

“Semua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan membabitkan kos keseluruhan bernilai RM12.5 juta.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di SK Ulu Ansuan pula, KPM sudah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” katanya.

BH semalam melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan, George Odol mendedahkan pengalamannya tinggal di stor sekolah lebih tiga tahun sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.

Beliau yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini, ditugaskan oleh KPM di sekolah berkenaan, sejak 2020.

George dipetik berkata guru di sekolah berkenaan terpaksa menumpang di rumah penduduk kampung manakala kelas diubah suai, selain dua rumah ala kadar sebagai kemudahan bagi cikgu, dibina di atas keprihatinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Namun, beliau mengakui tidak kesal sebagai guru dalam kalangan etnik Kadazandusun yang terpaksa mengorbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar, semata-mata untuk mengajar di sekolah pedalaman.-BH Online