Kelantan bersiap siaga termasuk membaik pulih pusat pemindahan sementara (PPS) dan menyediakan simpanan makanan sebagai langkah persediaan menghadapi musim banjir di negeri itu.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, sebanyak 456 PPS sedia dibuka pada bila-bila masa yang berkapasiti untuk menempatkan hampir 200,000 mangsa banjir.
“Selain itu, setiap jajahan telah diminta untuk membaik pulih PPS aktif yang telah dikenal pasti dan memerlukan pembaikan.
“Pada masa ini kerja-kerja pembaikian di 119 PPS lagi sedang giat dilaksanakan yang dijadualkan siap sebelum akhir November dengan kos lebih kurang RM2.5 juta yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya kepada media.
Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jajahan serta semua peringkat bilik operasi dan agensi menyelamat juga giat membuat persiapan bagi menghadapi musim banjir.
“Dari segi persiapan bekalan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebuah depot simpanan keperluan bencana, 16 stor bencana negeri, daerah, mini depot, kontena dan 160 pengkalan hadapan di seluruh negeri.
“Dari segi persediaan sumber tenaga kerja, aset dan peralatan, seramai 7,147 petugas yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba, polis, Rela, tentera dan 10 agensi lain bersedia untuk digerakkan,” katanya.
Tambahnya, Kelantan juga telah membangunkan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana) dengan menaiktaraf sistem e-Banjir yang dilancarkan pada 7 Feb lalu, bertujuan memudahkan proses memberi bantuan.
Sementara itu, Exco Terengganu, Hanafiah Mat sebanyak 590 buah PPS merangkumi pelbagai kategori sedia dibuka di negeri itu bagi menghadapi monsun timur laut dan PPS itu mampu menempatkan 147,590 orang.
Terdahulu Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan banjir akan melanda beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan mulai hari ini susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.