Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengekalkan model pemilihan kepemimpinan parti itu yang berasaskan kosensus bagi membolehkan setiap pemimpin dinilai berdasarkan pencapaian dan nilai yang dibawa mereka.
Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari, berkata penggunaan model itu juga mengambil kira iktibar serta pengajaran daripada kejadian membabitkan beberapa pemimpin parti itu terutama Datuk Seri Mohamad Sabu dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dibuang ketika bersama PAS pada 2015.
Mengulas model berkenaan, beliau berkata pemilihan dilakukan untuk 27 pemimpin utama bagi membentuk kepemimpinan termasuk bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta ketua sayap Pemuda, Wanita dan Wanita Muda.
“Model kepemimpinan AMANAH ini mungkin tidak sama dengan parti politik lain, tetapi tujuan kita menggunakan model ini untuk membolehkan semua bakat dalam AMANAH dinilai ahli dan menjadi pemimpin peringkat nasional.
“Ketika ini, AMANAH dalam proses mesyuarat agung sehingga hujung bulan ini… apabila pemilihan kawasan selesai, baharu proses pencalonan peringkat nasional dibuat selepas Disember,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung AMANAH Kawasan Kubang Pasu di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kepemimpinan dalam AMANAH tidak akan menawarkan diri merebut sebarang jawatan utama parti kerana mereka ini akan dilantik dalam kalangan 27 pemimpin yang dipilih ahli.
Katanya, ahli akan mengundi bagi memilih 27 pemimpin terbabit berdasarkan pencapaian, nilai yang dibawa dan kerjasama yang mampu menyumbang kepada pengukuhan parti terutama untuk Kerajaan Perpaduan.
“Dalam AMANAH kita tak tawarkan diri untuk apa-apa jawatan kerana kita memilih berdasarkan pencapaian, nilai yang dibawa dan paling penting bagaimana kita dapat bekerjasama.
“Pengalaman kita dalam PAS dahulu, walaupun kita lihat prestasi kepemimpinan kita cukup baik, tetapi akhirnya disebabkan sentimen mereka ditolak, jadi kita tak mahu lagi dengan model politik itu.
“Dulu Presiden (Mohamad Sabu) dan Timbalan Presiden (arwah Salahuddin) cukup aktif menggerakkan parti (ketika dalam PAS), tetapi disebabkan sentimen mereka dibuang. Kita tak mahu perkara itu berulang dalam AMANAH, jadi kita menolak sebarang bentuk sentimen,” katanya.
Mengulas kelewatan Perdana Menteri memilih pengganti Salahuddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, beliau menegaskan perkara itu adalah hak prerogatif Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebenarnya jawatan itu di bawah kerajaan dan ia kuasa prerogatif Perdana Menteri, jadi terserah kepada beliau. Banyak pertimbangan perlu dilihat bukan setakat kepada parti sahaja tetapi kepada kestabilan politik negara.
“Jadi tak timbul isu bila Perdana Menteri mahu pilih, siapa dia mahu pilih. Sama ada dari AMANAH atau berlaku perubahan dalam Kabinet itu prerogatif Perdana Menteri,” katanya.-BH Online