Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Angka mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak dan Selangor makin meningkat.

Di Perak, 257 orang daripada 74 keluarga malam tadi, yang ditempatkan di empat PPS di Hilir Perak dan Kerian, namun pagi ini jumlah mangsa meningkat kepada 299 orang daripada 87 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa di Dewan Serbaguna Padang Tembak bertambah daripada 44 keluarga kepada 145 orang.

Di Kerian jumlah mangsa kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di SK Alor Pongsu.

“Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan semakin berkurangan dan ketika ini tiada mangsa, namun belum ditutup secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya 4.10 meter, manakala Sungai Kerian di Selama pada tahap amaran 12.21 meter dan Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula dalam keadaan berjaga-jaga pada paras 13.30 meter dilaporkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan sebagai jalan alternatif kerana laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh.

Di Selangor, jumlah mangsa meningkat kepada 673 orang daripada 170 keluarga pagi ini berbanding 547 orang daripada 144 keluarga malam tadi, dengan sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Seksyen 10, Putra Height, Subang Jaya yang menempatkan 91 mangsa.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, pembukaan PPS tersebut menjadikan tujuh PPS dibuka di negeri itu termasuk dua di Hulu Langat iaitu SK Bangi dan SK Semenyih serta empat PPS di Sepang iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil.