Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberitahu bahawa 59 trak bantuan telah memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

“Kru kami telah menerima pada malam ini sebanyak 59 trak sarat dengan bantuan melalui lintasan sempadan Rafah,” Agensi Anadolu (AA) memetik pertubuhan kemanusiaan itu dalam kenyataan.

Trak itu membawa ubat-ubatan dan bekalan perubatan, makanan, air serta bantuan kecemasan, menurut kenyataan itu.

Sejak serangan Israel pada 7 Oktober lalu, sebanyak 217 trak membawa bekalan bantuan tidak termasuk bahan api tiba di Semenanjung Gaza secara keseluruhannya, tambahnya.

Sebelum konflik terkini, purata 500 trak memasuki wilayah itu pada setiap hari, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, trak bantuan berhenti memasuki wilayah itu selepas pertempuran bermula pada 7 Oktober mengakibatkan wilayah Palestin mengalami kekurangan kritikal makanan, air dan ubat-ubatan.

Menurut unjuran PBB, sekurang-kurangnya 100 trak bantuan diperlukan setiap hari untuk membekalkan keperluan kira-kira 2.3 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, angka kematian penduduk Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 8,525 orang, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Selasa.

“Mangsa termasuk 3,542 kanak-kanak dan 2,187 wanita manakala 21,543 orang lagi cedera,” kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra dalam sidang media di Gaza City. – FMT