Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kos pengeluaran buah kelapa sawit dan kelangsungan industri perlu menjadi titik tumpuan dalam kajian kerajaan menilai kaedah untuk mengenakan levi termasuk paras nilai ambang keuntungan dan kadar levi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada ketika ini, tiada hasrat dari kerajaan untuk memansuhkan levi keuntungan luar biasa bagi industri kelapa sawit.

“Nilai ambang keuntungan luar biasa yang ditetapkan bagi tujuan pengenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit telah disemak semula beberapa kali sejak levi ini dilaksanakan.

“Nilai ambang yang asal adalah RM2,000 dan nilai ambang terkini adalah RM3,000 bagi Semenanjung dan RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau mengulas bagi menjawab pertanyaan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai hasrat kerajaan dalam memansuhkan cukai keuntungan luar biasa bagi industri kelapa sawit.

Kadar levi asal bagi Sabah dan Sarawak telah diselaraskan kepada 1.5% dan kadar levi sebanyak 3% ditetapkan bagi Semenanjung.

“Walaupun kadar levi telah disamakan, nilai ambang keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak ditetapkan lebih tinggi berbanding di Semenanjung bagi mengambil kira kos pengeluaran buah kelapa sawit yang lebih tinggi di kedua-dua negeri itu,” katanya.

Sebelumnya, media melaporkan bahawa Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan agar kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) bagi Sabah dan Sarawak dikembalikan kepada 1.5% dalam Belanjawan 2024 berbanding 3% ketika itu.