Seramai 5,000 ibu bekerja di negeri ini yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak berusia 12 tahun ke bawah layak memohon Insentif MamaKerja yang dilancarkan, hari ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, berkata ibu yang layak akan menerima insentif berjumlah RM1,000 secara ‘one off’.
“Insentif MamaKerja bertujuan mengangkat martabat wanita bekerja yang mempunyai anak-anak berusia 12 tahun dan ke bawah.
“Bagi menjayakan program ini, RM1,000 akan diberikan kepada seramai 5,000 ibu bekerja bagi meringankan beban penjagaan anak-anak terutamanya dari segi kos,” katanya selepas Majlis Pelancaran Insentif MamaKerja di sini, hari ini.
Beliau berkata, syarat kelayakan bagi pemohon insentif berkenaan adalah wanita bekerja; rakyat Selangor atau bermastautin di negeri ini lebih 10 tahun; mengundi di Selangor; berpendapatan isi rumah RM8,000 dan ke bawah.
Katanya, pemohon juga mesti mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak berusia 12 tahun ke bawah dan bukan penerima bantuan Skim Bantuan Asuhan Pintar (ASUH PINTAR), Skim Bantuan Tadika (TUNAS) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).
Mengulas lanjut, Anfaal berkata sebahagian besar ibu di negeri ini terpaksa memilih antara menjaga anak ataupun bekerja disebabkan kos penjagaan di pasaran adalah tinggi.
“Statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor yang rendah iaitu 69.9 peratus.
“Selain itu, Kajian Merdeka Centre dan The Asia Foundation di Selangor pada tahun 2020-2022 menunjukkan wanita bekerja menghadapi cabaraan kos penjagaan anak yang tinggi,” katanya. – Berita Harian