Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kata dua kepada negara yang cuba ‘mengajar’ Malaysia mengenai erti sebenar hak asasi, kebebasan dan demokrasi, dengan menegaskan beliau tidak sesekali gentar bahkan akan terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dianiaya rejim zionis Israel.
Mengakui ada menerima tekanan dalam bentuk teguran dan ugutan, Perdana Menteri menegaskan negara berkenaan salah pilih orang kerana beliau bukan sosok yang mudah dikawal dan dipengaruhi pihak terbabit.
Dengan kemunafikkan yang dipamerkan negara Barat, beliau mempersoalkan pendirian dan ‘perjuangan’ berkait soal hak asasi, kebebasan dan demokrasi yang seringkali dimainkan negara rantau berkenaan, namun dalam isu tertumpu Palestin mereka bagai membutakan mata, membisukan mulut dan memekakkan telinga.
Justeru, Anwar tidak menolak keadaan Gaza akan bertukar lebih buruk apabila tentera Israel akan terus ‘menggila’ dengan melakukan pencerobohan secara semberono terhadap tanah milik Palestin itu dengan sokongan negara blok terbabit.
“Kemungkinan Israel memasuki Gaza adalah kuat dan sudah pasti. Masa depan bagi mereka sangat malap. Kemungkinan tentera Israel akan tetap menceroboh ke Gaza. Apa pun, kita sebagai orang Islam yakin dengan pertolongan Allah.
“Kita juga harus terima kenyataan keadaan sekarang akan lebih parah bagi rakyat Gaza kerana keangkuhan dan kezaliman Israel yang disokong negara Barat.
“Di Gaza ada juga agama lain seperti Kristian. Tetapi sebab kita bukan orang kulit putih sehingga tidak ada sebab munasabah untuk mereka (perjuangkan isu Palestin).
“Dalam beberapa minggu (lagi) akan berduka, parah dengan kematian ramai (orang Palestin) dan bayi akan habis dibawah tangah ganas Israel. Tentera Amerika Syarikat (AS) penuh di Timur Tengah, tentera Inggeris, Perancis pula sedia memberi laluan mudah kepada Israel.
“Ini saya katakan sudah sampai ke tahap kegilaan untuk membenarkan orang disembelih, dibunuh, hospital dibom dan sekolah dimusnahkan. Ia adalah tindakan barbaric (ganas).
Jadi kita hanya mampu beri semangat dan kekuatan kepada (negara) jiran-jiran kita. Apa keputusan, kita runding bersama.
“Saya dikritik sekarang dan mula diserang dalam kalangan Eropah, AS dan tentunya Israel. Kita harus waspada. Saya beritahu selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak terima ugutan itu.
“Kita lawan tetap lawan. Malaysia sebuah negara yang kita sendiri tentukan apa betul dan kita faham apa itu kebebasan serta bersama dalam perjuangan Palestin selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato ketika menghadiri `Himpunan Malaysia Bersama Palestin’ di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini malam ini. Dianggarkan lebih 16,000 orang hadir mewakili pelbagai agama, kaum dan negara bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin.
Di pentas sama, Perdana Menteri turut berkongsi hasil kunjungan ke beberapa negara Arab baru-baru ini. Antara negara yang beliau lawati adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir dan Turkiye.
Anwar berkata perbincangan dengan pemimpin tertinggi negara berkenaan sudah pasti berkisar soal Palestin yang mana masing-masing menunjukkan komitmen sama untuk membantu negara berkenaan dari penindasan Israel.
Katanya, antara perkara yang dipersetujui adalah sokongan untuk menyalurkan bantuan ke Palestin menerusi jalan darat dan udara termasuk kesepakatan negara Islam dalam menyokong isu membabitkan Palestin.
“Dari Istanbul, dari meja perbincangan dengan Presiden (Turkiye) Recep Tayyip Erdogan saya terus ke Kaherah (Mesir) jumpa Presiden Abdel Fattah El-Sisi kerana Mesir mempunyai peranan yang kritikal, kerana sempadan Rafah di tangan Mesir dan Israel.
“Saya nak jelaskan saya lihat sendiri, dari keterangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir, bincang hati ke hati dengan Presiden Mesir. Dia kata kalau 200 kontena dibwah masuk ke Gaza, dia izinkan sekarang juga.
“Tetapi dia tidak mahu sempadan itu dijadikan alasan Israel untuk hambat keluar orang Palestin. Sebab itu, dia cuba benarkan 20 kontena setiap hari. Namun yang diperlukan adalah 200 kontena sehari kerana ia tak cukup, susu tak cukup, bekalan elektrik terputus, air minum tidak ada.
“Pada 2023, masih ada manusia bercakap soal ketamadunan, kemanusiaan, hak asasi dan membiarkan manusia kebuluran. Itu pendirian.
“Saya nyatakan kepada Presiden Mesir bahawa Malaysia ambil keputusan untuk sokong pendirian Mesir beri laluan penuh kepada sesiapa saja.
“Ia termasuk negara mana saja sama ada Turkiye, Arab Saudi, UAE, banyak lagi negara lain termasuk Malaysia untuk hantar dengan kapal terbang, kapal bahkan apa saja… Mesir akan terima dan bantu mengirim masuk (bantuan) ke Gaza,” katanya.-Berita Harian